Friday, July 10, 2009

..ustaz memang begitu..

Oleh : Dimasyqi.com

Kita tahu siapa doktor, siapa jurutera, siapa guru, siapa peguam. Tapi siapakah ustaz? Ustaz (bagi akhawat dibaca dengan ustazah) terutama dalam masyarakat melayu tidak didefinisikan dengan jelas. Sepertimana jelasnya ahli mantiq mendefinisikan manusia yang jami’ dan mani’ sifatnya. Sekiranya disoal siapa ustaz, jawapannya masih kabur. Tidak seperti profesion yang lain. Seseorang tidak akan diiktiraf sebagai doktor melainkan tamat menjalani “housemanship’. Seseorang tidak boleh menggelarkan diri sebagai peguam melainkan dia tamat tempoh “chambering”. Seorang akauntan hanya layak disebut akauntan setelah memperolehi AACA. Tetapi tidak kepada seorang ustaz. Sesiapa sahaja dengan mudah boleh diberi gelaran itu.

Bagi jumhur makcik, pakcik, maklong dan paklong di kampung, mereka mempunyai pengertian sendiri. . Ustaz di sisi mereka, sesiapa sahaja yang bermusafir dengan tujuan belajar agama ke Timur Tengah. Asalkan pernah berada di Timur Tengah untuk belajar agama maka mereka layak memegang title ustaz setelah pulang. Ditambah dengan set kopiah, serban dan jubah yang dipakai, beberapa potong ayat quran dan hadith yang dihafal, satu dua fakta sirah yang dibaca, gelaran ustaz akan lebih kuat melekat pada diri ustaz. Pendek kata sesiapa sahaja yang pernah dalam hayatnya belajar agama dengan mudah akan menerima gelaran ini.

Ringkasnya, pemahaman yang ada dalam benak kebanyakkan masyarakat seolah-olahnya tidak membezakan antara ustaz yang banyak bertalaqqi di jami dengan ustaz yang banyak bertalaqqi di internet, ustaz yang banyak mengumpul koleksi kitab dengan ustaz yang banyak mengumpul koleksi filem, ustaz yang banyak menziarahi masyaikh dengan ustaz yang banyak menziarahi shopping complex, ustaz yang harinya bermula seawal 5 pagi dengan ustaz yang harinya bermula selewat 12 tengahari, ustaz yang letih tidak cukup tidur menelaah dengan ustaz yang letih sebab tidur tidak menelaah, ustaz yang berbuih mengajar adik-adik dengan ustaz yang berbuih bersembang kosong, ustaz yang bersengkang mata bertahajjud dengan ustaz yang bersengkang mata berchatting, ustaz yang penuh didada dengan matan dan syair dengan ustaz yang penuh didada dengan matan lagu dan nasyid, ustaz yang banyak menulis dengan ustaz yang malas membaca apa yang telah ditulis. Ustaz yang bekerut dahi merisaukan masalah ummat dan ustaz yang berkerut dahi kecewa perpindahan Robinho ke Manchester City. Ustaz yang sedar dirinya banyak kekurangan dengan ustaz yang tidak merasai apa-apa kekurangan. Anda teruskan sendiri senarainya. Yang penting, kesemuanya akan akan dibakulkan dalam dalam satu bakul yang sama setelah pulang ke Malaysia, iaitu bakul ustaz. Semuanya akan dipanggil ustaz.

Ustaz-ustaz inilah nantinya akan diminta mengisi kekosongan kuliah di surau dan masjid, ceramah agama sempena Isra’ Mikraj, Maal Hijrah dan Maulid. Ustaz ini nantinya diminta untuk mengisi khemah ibadah. Ustaz inilah nantinya akan ditanya masalah faraid, zakat, puasa dan solat. Ustaz inilah nanti diminta berkhutbah Jumaat, Aidilfitri dan Aidiladha.

Maka ustaz ini jugalah yang nantinya akan berdolak dalik seribu alasan. “Bagi pada orang lain dulu”, “Bidang saya lughah, saya tak boleh jawab tentang fekah”, “Saya tak bersedia lagi, baru semalam balik dari Syria”, ”Saya tak pandai nak berceramah” dan beraneka alasan yang lain. Setelah bertahun di Timur Tengah, agaknya boleh ke makcik dan pakcik di kampung menerima semua alasan ini.

Tidak kurang juga yang mengagahkan diri menerima cabaran dek kerana tercabar membawa title ustaz. Akhirnya keluarlah fatwa-fatwa pelik lagi ajaib yang layak dimasukkan ke dalam “World Books Of Record”.

Maka jangan cepat melatah jika hari ini masyarakat mula meragui pada sesetengah insan yang bernama ustaz. Krisis keyakinan pada golongan agamawan berakar pada 1001 perkara pelik dan ajaib yang terbit dari kalam dan perbuatan ustaz. Bermula dari soal sikap, cara berfikir, cara bertindak dan sebagainya.

Masyarakat yang berfikir dan cermat memerhati menyimpulkan, ustaz hari ini hanya pada nama bukan ruh, hanya pada kata-kata bukan amalan, hanya pada idea bukan perlaksanaan, hanya pada kulit bukan pada isinya. Ustaz tidak mampu memimpin dan membimbing masyarakat. Ustaz hanya pandai bercakap (dibaca dengan menggoreng). Dakwah ustaz tidak berhikmah. Ustaz tidak progresif dan dinamik. Pendekatan ustaz tidak approachable. Ustaz tidak up to date. Ustaz tidak itu dan ini.

Anda mungkin marah dan saya juga marah apabila institusi ustaz diperlekeh sedemikian rupa. Tetapi cuba kita becermin sejenak. Marah semata tidak akan merubah wajah ustaz. Kita perlukan revolusi dan revolusi perlukan PENGORBANAN.

Jika tidak, kita bersetuju dengan mereka yang mengatakan “Ustaz memang begitu”


Dimasyqi.com
9 Disember 2008
Mujtahid, Dimasyq.

sumber : http://suaradamsyik.wordpress.com

No comments:

Post a Comment