Thursday, September 24, 2009

..APA SETELAH PUASA..??

“Bulan Ramadhan bulan yang berkat..bulan rahmat dan juga maghfirah..pahala digandakan doa diterima..bulan LailatulQadar yang istimewa..” antara bait lagu yang seringkali berkumandang setiap kali menjelang bulan 1000 rahmat buat manusia,Ramadhan. Namun begitu, semerdu manapun suara yang menyanyikan, seindah manapun kata-kata yang tersusun, andai hati manusia buta untuk menilai sejuta kelebihan Ramadhan yang dihidangkan, itulah antara tanda hati yang mati. Kita seharusnya bersyukur kerana dipertemukan sekali lagi dengan Ramadhan, bulan yang benar-benar menjanjikan yang terbaik berupa amalan-amalan, yang bukan sahaja tidak dijanjikan pada bulan-bulan lain selainnya, malah setiap amalan itu pula diganjari dengan pahala yang berlipat kali ganda.

Dan kini..tibalah masa Ramadhan melabuhkan tirai. Apakah nilai Ramadhan 1430H kepada diri kita..??

Berbeza dengan kehidupan dunia yang dibina kehadapan, kehidupan selepas mati dibina kebelakang. Kita bakal menjalani kehidupan selepas mati berdasarkan apa yang kita bawa dari kehidupan dunia. Kita hanya mempunyai satu peluang untuk menyediakan bekalan secukupnya untuk kehidupan selepas kematian. Dan Ramadhan 1430H hanya bertamu sekali ini sahaja, tidak akan ada yang kedua. Ramadhan seharusnya menjadi medan yang terbaik buat kita untuk mengislah diri, muhasabah diri dan membina azam serta niat untuk mengubah diri kearah yang lebih baik. Hanya hawa nafsu yang menjadi pertarungan diri. Maka andai kita orang yang suka melewat-lewatkan solat, itulah diri kita, maka ubahlah diri. Andai kita orang yang tidak suka berkunjung ke masjid atau surau, itulah diri kita, maka ubahlah diri. Andai kita orang yang suka bersangka buruk, sering berkata-kata perkara yang tidak berfaedah, mengumpat dan membuang masa, itulah DIRI KITA, maka UBAHLAH DIRI!! Tiada penyesalan andai ini Ramadhan yang terakhir buat kita..

Hakikatnya, itulah erti Syawal yang sebenar. Syawal bulan melatih peningkatan iman dan amal. Apalah ertinya latihan dalam bulan Ramadhan jika setelah memasuki Syawal tidak ada peningkatan dalam kehidupan kita sehari-hari menuju alam akhirat yang kekal abadi.

Siapa yang menjaga percakapannya dianugerahkan kepadanya hikmah. Siapa yang menjaga penglihatannya dianugerahkan kepadanya hati yang khusyuk. Siapa yang menjaga makanannya dianugerahkan kepadanya kelazatan dalam beribadah. Siapa yang bersabar di atas ujian, Allah sempurnakan sabarnya lalu memasukkannya ke dalam Syurga mana yang dia suka. Siapa yang menjaga daripada ketawa dianugerahkan kepadanya kehebatan. Siapa yang menjaga daripada bergurau dianugerahkan kepadanya keelokan atau kemuliaan. Siapa yang meninggalkan cinta dunia dianugerahkan kepadanya dapat melihat kesalahan sendiri. Siapa yang meninggalkan kesibukan mencari kesalahan pada perbuatan Allah, dianugerahkan kepadanya pelepasan daripada nifak.

Terasa amat berat untuk kita berpisah dengan bulan Ramadhan, kerana banyaknya keistimewaan dan ganjaran di dalamnya, walau bagaimanapun, peluang untuk kita masih terbuka. Bulan Syawal yang bakal tiba, Allah s.w.t menyediakan pula kepada kita dengan menjanjikan ganjaran pahala setahun bagi yang berpuasa 6 hari di bulan Syawal, sebaik sahaja kita selesai menyambut 1 Syawal (Aidilfitri),
Rasulullah s.a.w bersabda :
Bermaksud: "Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti pula dengan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal, ia adalah seperti berpuasa setahun".
(Hadis riwayat Muslim)

Maka, apa setelah puasa..?? Jawapannya: Muhasabah & Istiqomah!!
Ramadhan yang sama, natijah yang berbeza..
’Eid Mubarak..Kullu ’am wa antum bikheir..

No comments:

Post a Comment